Pages

Politik Malaysia.. Antara Media Perdana Atau Media Alternatif??


Berikut adalah satu isu yang dipedebatkan.. Lihatlah antara laporan media perdana dan media alternatif. Nilai sendiri..
PERKEMBANGAN KERAJAAN PERPADUAN DARI MEDIA ARUS PERDANA
Ihsan dari sumber Berita Harian Online


Nik Aziz Minta Nasharuddin Lepas Jawatan

Nasharuddin Mat Isa


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.


"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada Pas, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda Pas mahupun dalam kertas pakatan pembangkang.


"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden Pas) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.


Katanya, cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam Pas serta pakatan pembangkang.


Klik di sini untuk informasi selanjutnya.




PAS Perlu Nyatakan Pendirian Sebenar: Muhyiddin
http://www.jphpk.gov.my/Malay/04MUHYIDDIN%20YASSIN.jpg
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pas perlu membuat pendirian sebenar mengenai cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan berikutan timbul ketidaksepakatan dalam parti itu ketika ini.


Timbalan Perdana Menteri berkata, kini timbul perselisihan kenyataan pemimpin dalam parti itu mengenai agenda kerajaan perpaduan membabitkan Pas-Umno-BN.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini, hari ini mengenai kenyataan terbaru Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali bahawa sebarang perbincangan kerajaan perpaduan dengan Pas mesti membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.


Dewan Ulama PAS Cadang Muktamar Khas Bincang Kerajaan Perpaduan

http://1.bp.blogspot.com/_hKAR-UN_LiE/Rl41-Qo_DMI/AAAAAAAAAes/pxczyssuKIs/s320/harun_taib.jpg
Datuk Harun Taib

KUALA TERENGGANU - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi pembentukan kerajaan perpaduan kerana ia satu isu yang besar.


"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja...kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas. Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya.


Harun berkata, Abdul Hadi dijangka memberikan penerangan secara terperinci kepada pemimpin parti itu berhubung cadangan berkenaan.


"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. Insya-Allah, selepas diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu. - Bernama




Nik Aziz Diminta Tidak Jangan Buat Kenyataan Melulu: Azizan
http://3.bp.blogspot.com/_hvjCip5aemI/SENHLJBd8EI/AAAAAAAABGc/dbZwEhDYBbk/s320/180px-AzizanAbdulRazakSwissArmyKnife.jpg
Datuk Seri Azizan Abdul Razak

ALOR SETAR -Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mahu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapatkan maklumat lebih jelas daripada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung idea penubuhan kerajaan perpaduan sebelum membuat kenyataan melulu.


Azizan berkata, adalah tidak wajar Nik Abdul Aziz membuat kenyataan melulu dan meminta Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa meletak jawatan jika masih menyokong idea mewujudkan kerajaan perpaduan.


"Perkara ini (penubuhan kerajaan perpaduan) bukan boleh diputuskan satu atau dua orang pemimpin saja, sebaliknya ia adalah keputusan ahli parti."


LAPORAN DARI MEDIA ALTERNATIF

Umno perangkap PAS isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz
Salmah Mat Husain
Wed | Jun 17, 09 | 4:18:25 pm MYT
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu berkaitan kerajaan perpaduan yang diriuh rendahkan sekarang hanya sekadar kenyataan peribadi pemimpin tertentu yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.
Katanya setakat ini tiada sebarang kertas agenda yang dibawa dalam mesyuarat PAS atau bersama Pakatan Rakyat.
Oleh itu kata beliau isu tersebut tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan PAS kerana ia merupakan satu padangan peribadi pemimpin tertentu sahaja.
"Kerana itulah pemimpin Pakatan Rakyat pun tidak tahu, begitu juga dengan pemimpin PAS yang lain. Jadi bagaimana nak hubungkaitkan dengan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.
"Bawalah dulu benda itu dalam mesyuarat parti, kemudian dalam Pakatan, kalau PAS dan Pakatan Rakyat bersetuju lainlah masalahnya.
"Ini dengan Pakatan tidak dibincang dalam parti pun begitu juga, macamana kita nak proses benda ni.. sebab tu saya kata benda ni direka oleh boneka Umno," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya, kalau semua pihak setuju, maka setiap wakil sama ada dari PAS, KeADILan dan DAP mungkin ada yang bakal menjadi menteri.
Kata beliau sekiranya perkara itu boleh berlaku barulah benar-benar dikatakan sebagai kerajaan perpaduan.
"Tetapi apa yang berlaku ini perpecahan. Umno sekarang sedang berpesta. PAS dah masuk perangkap. PAS sesama PAS dah nampak macam nak berpecah dah.. bercelaru.
"Begitu juga PAS dengan Pakatan Rakyat juga nampak bercelaru. Ini bererti mereka menganggap telah berjaya memecah belahkan PAS.
"Tetapi Alhamdulillah dapat dibendungkan dengan kenyataan saya sebelum ini," tambahnya.
Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dilaporkan percaya PAS ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetus presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - mj _
Putar belit kenyataan: Nik Aziz cadang saman Utusan Malaysia
Salmah Mat Husain
Wed | Jun 17, 09 | 3:47:04 pm MYT
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang dianggap memutar belit kenyataannya.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, berita yang disiarkan akhbar tersebut sebelum ini sebagai berniat jahat dan ingin memalukannya.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan perkataan 'nasihat saya mesti didengar' sebagaimana yang dilaporkan akhbar berkenaan bertarikh 15 Jun lalu.
"Bukan watak saya memaksa orang lain mendengar cakap saya, bahkan ia�bukan sejarah dalam hidup saya untuk berbuat demikian seperti disiarkan akhbar terbabit," katanya selepas mesyuarat Exco, hari ini.
Akhbar terbabit pada 15 Jun lalu melaporkan Nik Abdul Aziz menegaskan kenyataan kerasnya terhadap mereka yang menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan oleh parti parti, hanya nasihat awal.
Menurut akhbar itu lagi beliau mengingatkan bahawa nasihatnya mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggap sebagai ilham Umno.
Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz berita itu ditulis dengan memutarbelit kenyataannya, ditambah pandangan penulis sendiri.
Selain pembohongan, katanya ia juga berupa hasutan terhadap saya terutama disebut 'kenyataan Nik Aziz dianggap suci dan selari dengan Islam �oleh sebilangan besar pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang ditulis dalam ruangan surat pembaca akhbar sama.
"Selain pembohongan untuk memburukkan nama baik saya, ia juga berupa hasutan supaya rakyat memandang buruk pada saya.
"Saya telah menyerahkan kepada peguam hari ini untuk mengambil tindakan ke atas akhbar terbabit dan penulis rencana (surat pembaca) terbabit," katanya.
Surat pembaca disiarkan akhbar terbabit pada 16 Jun bertajuk 'Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam.'
Ketika ditanya perasaan dalam menghadapi situasi berkenaan beliau melahirkan rasa dukacita serta rasa malu dengan apa yang berlaku.
Tambah beliau lebih mendukacitakan lagi apabila penulis terbabit �mengajak semua mufti termasuk alim ulamak untuk memberi pandangan berhubung masalah berkenaan.
"Ini semua kerja yang tidak masuk akal lebih lagi bila saat nak menghadapi pilihan raya kecil.. macam ni lagilah untuk menambahkan rasa kebencian kepada saya dan PAS," ujarnya. - mj _
Antara dua Tok Guru: Penjelasan dan penjernihan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan
Wan Abdul Rahman Wan AB Latif
Wed | Jun 17, 09 | 9:41:17 am MYT
SEJAK Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.
Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.
Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.
Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.
Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.
Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.
Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.
Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.
Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.
Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.
Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.
Takrifan dan latarbelakang sejarah
Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."
Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.
Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.
Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.
Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.
Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.
Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.
Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.
Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.
Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.
Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.
Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.
Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.
Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.
Halangan ke arah pencapaian
Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.
Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.
Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.
Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?
Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.
Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?
Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.
Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS
Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.
Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.
Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.
Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.
Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.
Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan. - mks.
(Penulis adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP). _

p/s: Penulis bukannya memihak kepada sesiapa. Cuma memberi maklumat. Baca antara pihak kerajaan dan pembangkang dan nilailah sendiri.

1 comments:

Salam...
Hmm, nape macam aku pernah nampak aje post entry ko nie especially bahagian media arus perdana?

Musykil aku...