Pages

Pembantut Kematangan

Terjumpa satu artilek yang menarik.

Sumber: http://ms.langitilahi.com


Bilakah kamu hendak melihat dunia dan akhiratmu dengan serius wahai pemuda pemudi? ~ picture by 5letters of deviant art

Bilakah kamu hendak melihat dunia dan akhiratmu dengan serius wahai pemuda pemudi? 

Hari ini jika memerhatikan dengan lebih teliti, maka kita akan perasan betapa kematangan telah semakin memudar dari kalangan remaja dan pemuda kita. Perkara yang sama juga berlaku kepada remaji dan barisan pemudi.

Kebanyakannya, masa muda dihabiskan dengan kerseronokan dan hiburan semata-mata. Bermain-main dan bersenang lenang bersama teman sahaja. Masa dan waktu dibazirkan begitu sahaja. Tenaga dan kudrat tidak disalurkan pada tempat yang sepatutnya.

Kematangan yang telah pudar, membuatkan kurang yang merasakan tanggungjawab untuk mewarisi kepimpinan hari ini bagi melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Hakikatnya, perkara ini menggusarkan.

Siapakah yang terfikir, betapa pemuda pemudi hari inilah yang mencorakkan masyarakat masa hadapan? Maka kegusaran yang ada pada diri saya ini sepatutnya wujud di dalam diri mereka.

Terperangkap di dalam zon yang selesa

Penyebab utama mengapa kematangan terbantut adalah kerana pemuda pemudi kita hari ini telah diperangkap di dalam satu zon yang selesa. Ini membuatkan akal mereka tidak mampu berfikir di luar kotak kehidupan mereka.

Pemuda-pemudi hari ini hidup di era keamanan dan kedamaian. Mereka dipimpin dan telah meletakkan diri mereka untuk menjadi pengikut sepanjang masa. Mereka tidak pernah hendak memecahkan kerangka ‘pengikut’ itu untuk menjadi seorang ‘pemimpin’.

Tempat belajar disediakan, kerjaya disediakan, makan minum disediakan, duit disediakan, dan keamanan serta kedamaian bersama kemakmuran juga tersedia di hadapan mata. Tidak menjadi masalah untuk mereka dan tidak perlu bagi mereka bersusah payah berfikir itu ini untuk mendapatkan semua.

Akhirnya, keselesaan ini yang mengabui mereka untuk berfikir panjang, dan menyedari bahawa satu hari nanti, akan tiba waktunya untuk mereka pula mengganti kepimpinan hari ini, dan menyediakan semua itu kepada anak-anak zaman hadapan pula.

Persoalannya, apakah dengan ketidak sedaran hari ini, kita mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak masa hadapan? Bilakah masa kita untuk bersedia memberikan yang terbaik sekiranya kita baru sedar ketika mendapat tanggungjawab nanti?

Kematangan hadir dengan memecahkan tembok masa hadapan

Hari ini, mungkin kita tiada tanggungjawab sebagai bapa atau ibu untuk mencari duit menyara anak-anak dan menjaga makan pakai mereka.

Hari ini, mungkin kita bukan pemimpin negara yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, mentadbir dan menguruskan negara bagi menyediakan suasana yang terbaik kepada masyarakat dan kehidupan termakmur buat mereka.

Dan banyak lagi contoh tanggungjawab. Paling kurang, kita perlu memimpin diri sendiri di dalam arus perdana hari ini. Memimpin keluarga agar menjadi keluarga yang baik di dalam arus globalisasi hari ini.

Ketiadaan tanggungjawab-tanggungjawab itu pada kita hari ini, menyebabkan kita alpa dan leka, lalai dan rasa hendak bermain sahaja. Maka akal kita tidak berkembang untuk mencari pengalaman, menambah pengetahuan, bagi mempersiapkan diri agar berada dalam kondisi yang terbaik ketika kita benar-benar memegang tanggungjawab nanti.

Maka terjadilah penurunan kualiti saat kita benar-benar perlu melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab tadi. Kerana apa berlakuknya penurunan kualiti ini? Kerana kita hakikatnya tidak bersedia sedari awal.
Saat memegang tanggungjawab, baru hendak bersedia. Selama ini, kita asyik memandangnya sebagai ‘perkara maasa hadapan’.

Sekiranya kita sedari awal memecahkan tembok masa hadapan ini, kematangan itu akan hadir di dalam diri. Kita akan berfikir sebagaimana orang dewasa berfikir. Kita akan rasa ralat dengan waktu-waktu yang terbazir, dan kita akan serius menambah pengetahuan serta menajamkan pemikiran bagi mempersiapkan diri di dalam kondisi terbaik untuk memegang tanggungjawab yang akan kita pegang nanti.

Mereka itu matang

Di sinilah kita lihat perbezaan antara kita dengan kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW dan zaman terdahulu sebelum kita.

Sebagai contoh, Abdullah ibn Umar RA adalah seorang kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW. Tetapi direkodkan bahawa dia telah mengikuti majlis-majlis bersama dengan para sahabat besar sedangkan usianya ketika itu masih kecil.

Hal ini direkodkan apabila Abdullah ibn Umar RA sendiri meriwayatkan bahawa: “Pada suatu hari, aku mengikuti sebuah majlis Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW bertanyakan akan sebuah pokok yang mempunyai persamaan dengan orang yang beriman. Aku tahu akan jawapannya, tetapi aku jadi malu untuk menjawab kerana menghormati orang-orang yang lebih tua yang berada di dalam majlis itu. Akhirnya Rasulullah SAW sendiri menjawab soalan baginda tadi. Ketika dalam perjalanan pulang, aku menceritakan kepada bapaku(Umar Al-Khattab) bahawa aku mengetahui akan jawapannya semasa Rasulullah menyoal tadi. Bapaku berkata: Aku akan menjadi sangat gembira, sekiranya kau menjawab tadi” Riwayat Bukhari di dalam Kitab Adab Wa Ar-Riqaq.

Contoh yang lain, adalah Usamah bin Zaid RA. Direkodkan bahawa ketika dia berumur 18 tahun, dia telah diangkat untuk menjadi seorang jeneral yang menggepalai tentera menentang Romawi. Lebih mengkagumkan, pada usianya 19 tahun, dia berjaya menewaskan Romawi dengan kejayaan.

Contoh yang lain lagi, adalah Muhammad Al-Fateh. Direkodkan bahawa ketika dia berumur 23 tahun, dia berjaya menumbangkan Konstantinopel. Direkodkan juga, dia pernah diangkat menjadi Sultan ketika berumur belasan tahun, apabila ayahnya, Sultan Murad mengambil keputusan meninggalkan kerajaan bagi menjadi ahli sufi. Hal ini menyebabkan berlakunya kekacauan politik angkara orang-orang tua di dalam kerajaannya. Pada umur yang semua itu, dia berjaya memanggil ayahnya semula bagi memimpin kerajaan dengan kata-katanya yang bersulam kematangan yang amat masyhur di dalam sejarah:
“Wahai Ayahanda, sekiranya ayahanda masih merasakan bahawa ayahanda adalah Sultan bagi kerajaan ini, maka pulanglah. Sekiranya Ayahanda benar-benar telah menyerahkannya kepadaku untuk menguruskannya, maka dengan ini aku arahkan Ayahanda untuk pulang dan memimpin kerajaan ini!”
Dan di manakah kematangan kita hari ini jika hendak dibandingkan dengan mereka?
Di manakah hakikatnya perbezaan antara kita dan mereka?
Sepatutnya kita perhatikan dan memikirkannya.

Penutup: Melepaskan diri dari kebantutan kematangan

Matang adalah indikator terpenting dalam memandu kehidupan kita ke arah kehidupan yang terbaik. Tanpa wujudnya kematangan di dalam diri, maka kita hanya akan menghalakan kehidupan kita semata-mata ke arah keseronokan. Matang adalah pemandu sebenar yang terbaik dalam kita membuat keputusan.

Kematanganlah yang menghalang kita dari nmelakukan perkara yang sia-sia dan merosakkan. Kematanganlah yang menjadikan kita mampu memacu kehidupan diri ke arah terbaik dan memandu pula masyarakat sekeliling ke arah kebaikan.

Yang tidak matang hanyalah akan menjadi pelawak di dalam kehidupan insan, yang membawa dirinya ke arah kehancuran. Yang tidak matang hanya akan menjadi hamba dan bahan permainan. Kita akan tertipu, tertipu dan tertipu sepanjang hayat.
Maka sewajibnya kita menuntut kematangan ini agar wujud di dalam diri.
Bukan sekadar membiarkannya dan tidak kita perolehi.
Sedangkan perkara ini adalah teramat penting sekiranya kita adalah orang yang memerhati.

0 comments: